Kuala Lumpur: Elemen perang saraf dilihat perkara penting untuk mewujudkan simbolisme pertahanan yang baik dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menarik minat golongan muda menyertai pasukan keselamatan itu.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, imej keselamatan negara adalah bukan karier pilihan dalam kalangan golongan muda.
Menurutnya, karier berkaitan keselamatan negara juga tidak diberikan penekanan dalam bidang kerjaya utama dalam kalangan anak muda kini.
“Elemen ini merangkumi aktiviti seperti perbarisan, tembak meriam serta persembahan menarik daripada pasukan tentera dan pasukan keselamatan lain.
“Pada masa sama, elemen perang saraf seperti upacara menaikkan bendera serta kawad di Dataran Merdeka di sini, oleh ATM perlu dibangunkan semula.
“Elemen lain yang boleh dilakukan untuk menarik minat golongan muda adalah aktiviti seperti demonstrasi atau pertunjukan di kawasan awam secara berkala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Nirwandy berkata, penggunaan media sosial serta pendedahan menerusi pembikinan filem juga penting bagi menarik minat golongan muda menyertai pasukan tentera.
“Melalui media sosial, ia dapat digunakan untuk menunjukkan bahawa pasukan tentera sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berkhidmat.
“Justeru itu, pihak ATM diminta memberikan kelonggaran aktif di media sosial kepada petugas bagi memberikan semangat keperwiraan terutama dalam kalangan golongan muda termasuk kaum Cina serta India.
“Pada masa sama, industri filem juga perlu dibangunkan bagi membentuk ikon keselamatan sekali gus menggalakkan penyertaan kaum lain dalam pasukan keselamatan termasuk ATM,” katanya.
Menurutnya, kesinambungan anak muda dalam pasukan tentera adalah asas kepada keselamatan negara selain meneruskan kepimpinan negara.
“Golongan ini adalah penting untuk taktikal keselamatan yang lebih moden khususnya ancaman keselamatan hibrid membabitkan keselamatan nyata serta berteknologi tinggi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengakui berhadapan cabaran mendapatkan perajurit berkualiti dan memenuhi kriteria atau syarat yang diperlukan.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, Tentera Darat terima permohonan hampir 10,000 orang pada sesi pengambilan kali ini.
Bagaimanapun, katanya, individu yang layak dipanggil menghadiri temu duga awal hanya 4,000 orang sahaja.
Kredit: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/02/1183032/bangkitkan-semangat-keperwiraan-tarik-golongan-muda-sertai-tentera